ISTANBUL, 27 Feb: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengarahkan agensi persekutuan bersiap sedia untuk pemberhentian pekerja secara besar-besaran sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula kerajaan.
Dalam satu memo yang dikeluarkan pada Rabu, Pengarah Belanjawan Rumah Putih Russell Vought dan Pemangku Pengarah Pejabat Pengurusan Kakitangan Charles Ezell mengarahkan ketua agensi untuk mengemukakan rancangan bagi “pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran.”
Menurut laporan Anadolu Ajansi, memo itu menggambarkan kerajaan persekutuan sebagai “mahal, tidak cekap dan dibebani hutang yang tinggi,” serta mendakwa wang pembayar cukai digunakan untuk program tidak produktif dan tidak perlu yang menguntungkan kumpulan berkepentingan radikal tetapi merugikan rakyat Amerika.
Fasa pertama rancangan penyusunan semula agensi dijangka diserahkan sebelum 13 Mac, dengan fokus kepada pemecatan awal tenaga kerja, pengurangan belanjawan dan penggabungan bidang tugas yang bertindih.
Fasa kedua, yang perlu dikemukakan sebelum 14 April, akan melibatkan pengurangan tenaga kerja selanjutnya dan kemungkinan pemindahan pejabat persekutuan dari Washington, DC ke kawasan yang lebih rendah kos. Pelan penuh dijadual untuk dilaksanakan menjelang akhir September.
Menurut NBC News, ribuan pekerja yang dalam tempoh percubaan diberhentikan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sebagai sebahagian daripada inisiatif yang diketuai oleh jutawan teknologi Elon Musk, yang mengetuai pasukan Jabatan Kecekapan Kerajaan.
Beberapa agensi mula menyemak kakitangannya untuk menentukan sama ada khidmat mereka masih diperlukan, dengan mengkategorikan pekerja mengikut peranan masing-masing.
Pada hujung minggu, pekerja dikehendaki memberikan maklum balas terhadap satu e-mel bagi menyatakan justifikasi terhadap jawatan mereka dengan menyenaraikan pencapaian mingguan.
Mereka yang gagal memberi maklum balas diberi amaran bahawa mereka mungkin berdepan risiko pemberhentian.
Pada mesyuarat Kabinet pertamanya pada Rabu, Trump menyuarakan sokongan terhadap usaha itu, dengan berkata bahawa pekerja yang tidak membalas e-mel itu “berada dalam kedudukan yang goyah.” – TVS