SIBU 27 Feb: Dalam menghadapi cabaran pendidikan, penyelesaian inovatif dan penggunaan teknologi digital menjadi kunci utama untuk memacu transformasi yang berkesan.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, kepimpinan sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pendidikan terus relevan dan mampu memberi impak yang positif dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
“Budaya pembelajaran sepanjang hayat dan inovasi harus diterapkan oleh setiap pemimpin sekolah untuk memastikan perkembangan berterusan dalam sistem pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya sempena Perasmian Simposium Kepimpinan Digital: Menerajui Transformasi Era Digital yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di sini semalam.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee, yang mewakili Sagah bagi merasmikan majlis tersebut.
Sagah juga mencadangkan agar sekolah yang berjaya mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran, pembelajaran dan pengurusan menjadi contoh kepada sekolah lain, agar perubahan positif dapat dipercepatkan dalam seluruh sistem pendidikan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Tarat itu, bagi melaksanakan transformasi pendidikan yang berkesan, kerjasama antara sektor pendidikan, industri dan korporat amat penting.
Perkongsian ini bukan sahaja dapat menyediakan latihan profesional untuk pemimpin sekolah, tetapi juga menyokong sekolah dalam penggunaan teknologi terkini bagi Pendidikan.
Langkah ini diharap dapat mempersiapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kami menggalakkan lebih banyak sekolah untuk membina perkongsian strategik dengan pihak luar dan melahirkan pemimpin pendidikan yang tidak hanya inovatif, tetapi juga berfikir jauh ke hadapan,” tambahnya.
Sagah menegaskan bahawa MEITD komited untuk memperkasa kepimpinan sekolah dalam era digital, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Ini bertujuan untuk memperkasakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi permintaan pasaran pekerjaan pada masa hadapan.
Beliau juga menekankan bahawa pengetua dan pemimpin sekolah bukan hanya sekadar pentadbir, tetapi mereka adalah ejen perubahan yang menggerakkan sistem pendidikan.
“Transformasi digital bukan hanya berkaitan dengan penggunaan teknologi semata-mata, tetapi juga melibatkan perubahan dalam minda, strategi dan pendekatan kepimpinan.
“Sekolah memerlukan pemimpin yang berwawasan, fleksibel dan sedia menghadapi cabaran baharu,” ujarnya lagi.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa kecekapan digital dan kemampuan untuk membuat keputusan berasaskan data adalah kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh setiap pemimpin sekolah untuk memandu perubahan berterusan dalam pendidikan.-TVS