KOTA TINGGI, 27 Feb: Rundingan naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dijangka dapat dimuktamadkan pada Mac ini susulan perkembangan positif hasil perbincangan bersama rakan serantau ASEAN.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkara tersebut merupakan antara yang dibincang di peringkat pegawai kanan ekonomi ASEAN dan akan diperhalusi pada sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 yang akan dipengerusikan beliau esok.
“Nampaknya tidak ada isu ( berkenaan perbincangan naik taraf ATIGA), oleh itu, saya rasa kita boleh mengutamakan ATIGA ini menjelang Mac dan mungkin ada beberapa negara yang sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian tersebut,” katanya pada sidang media bersempena penganjuran Permukiman AEM itu, di sini, hari ini.
Pada 9 Feb, Sekretariat ASEAN melaporkan negara-negara ASEAN menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan ATIGA yang dinaik taraf menjelang 2025, susulan mesyuarat menteri secara maya pada minggu sebelum itu.
Mengenai kemajuan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), Tengku Zafrul berkata proses perbincangan masih diteruskan untuk diperhalusi memandangkan setiap negara mempunyai isu-isu berbeza yang perlu ditangani. -TVS