JAKARTA, 27 Feb: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA RI) menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama maritim bagi menjamin keselamatan perairan kedua-dua negara bagi kepentingan semua pengguna laut.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata kerjasama erat antara kedua-dua agensi mampu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan perairan dengan lebih berkesan.
“Kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan BAKAMLA RI perlu diperkukuh dalam menangani cabaran keselamatan baharu seperti penyeludupan, pencerobohan perairan dan ancaman lain yang boleh menjejaskan kestabilan serantau.
“Kepercayaan dan keakraban antara kedua-dua agensi adalah kunci memastikan keselamatan perairan Malaysia-Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat BAKAMLA RI di Jakarta, hari ini.
Ujarnya, kerjasama erat itu diyakini mampu meningkatkan penguatkuasaan maritim, memperkukuh keselamatan perairan serantau dan memastikan kestabilan di rantau ini terus terpelihara.
Selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Kepala BAKAMLA RI, Laksamana Madya TNI Irvansyah, lawtan berkenaan juga bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik dalam keselamatan dan penguatkuasaan maritim antara kedua-dua negara.
Sebagai sebahagian daripada komitmen bersama, kedua-dua agensi terus memperkukuh pelaksanaan Patroli Koordinasi Optima (PATKOR OPTIMA) MALINDO, iaitu operasi rondaan tahunan di perairan masing-masing yang melibatkan aset maritim kedua-dua negara bagi meningkatkan kawalan keselamatan, melancarkan perdagangan dan mengurangkan risiko jenayah maritim.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan ini ialah Pengarah Bahagian Perisikan Maritim Malaysia (MIND), Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman. – TVS