Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Muhammad Luqman Daniel Roji (kiri) dan Ahmad Ahlami Mohamad (kanan) mempamer pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara pecut tandem lelaki B. Foto Suara Sarawak

Luqman Daniel bangkit di Kejohanan Trek Asia 2025

BySuara Sarawak

KUCHING, 27 Feb: Pelumba kebangsaan kelahiran Sarawak, Muhammad Luqman Daniel Roji, memanfaatkan sepenuhnya kepercayaan yang diberikan oleh pasukan berbasikal Malaysia pada Kejohanan Trek Asia 2025 (ATC 2025) apabila beliau menyumbang tiga pingat buat negara.

Mahasiswa Universiti Malaya (UM) berusia 22 tahun itu, yang menjadi jurumudi kepada pelumba berbasikal para negara, Ahmad Ahlami Mohamad, 26, memulakan cabaran dengan langkah kanan apabila beliau meraih pingat perak pada penyertaan sulungnya di pentas Asia menerusi acara kejar mengejar tandem lelaki B.

Mereka tewas kepada pelumba Kazakhstan, Kirill Ilyukevich, dan jurumudinya, Anton Lavrentyev, pada aksi final di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, pada Sabtu lalu.

Luqman Daniel dan Ahmad Ahlami kemudian berjaya menukar warna pingat apabila mereka meraih emas dalam acara pecut tandem lelaki B.

Mereka menewaskan gandingan Thailand, Surachai Yokphanitchakit dan jurumudi, Jetsada Janluang, sehari selepas itu (Ahad).

Gandingan Luqman-Ahlami melengkapkan podium ketiga mereka apabila mereka meraih pingat gangsa dalam acara ujian masa satu kilometer tandem lelaki B semalam.

Mereka mencatatkan masa ketiga terpantas di belakang satu lagi pasangan Malaysia yang meraih pingat emas, manakala pasangan Thailand memperoleh pingat perak.

Luqman Daniel mula berjinak dengan sukan berbasikal pada 2016 di bawah kendalian jurulatih tempatan, Ahmad Joyo.

Beliau kemudian mendapat bimbingan Olimpian Negara, Josiah Ng, sebagai persediaan untuk mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur pada 2022.

Selepas SUKMA Kuala Lumpur, beliau terpilih untuk menyertai pasukan pelapis kebangsaan.

Namun demikian, nasibnya kurang baik apabila terbabit dalam kemalangan ketika latihan di Velodrom Nasional pada 3 Julai 2023 yang menyebabkannya terlantar di Hospital Putrajaya.

Kemalangan itu membantutkan usahanya untuk meningkatkan prestasi, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengintai peluang mewakili negara.

Harapannya menjadi nyata apabila pasukan berbasikal negara memberi kepercayaan kepadanya untuk membuktikan kemampuan dengan membantu pasukan para pada ATC 2025.

“Alhamdulillah, walaupun saya digandingkan dengan Ahlami dalam tempoh hanya kira-kira sebulan sebelum ATC 2025, kami berjaya meraih tiga podium untuk negara.

“Pencapaian ini cukup membanggakan saya, apatah lagi ini penyertaan saya yang pertama di pentas Asia,” katanya yang berasal dari Kampung Sinar Budi Baharu, Taman Desa Wira, di Batu Kawa di sini.

Menurut Daniel, kejayaan itu membakar semangat untuk dirinya berusaha lebih gigih lagi bagi memperkemas gandingan bersama Ahlami yang berasal dari Tumpat, Kelantan, untuk menghadapi saingan pada peringkat lebih tinggi selepas ini.

“Insya-Allah, kami akan melakukan yang terbaik jika terus disenaraikan dalam pasukan kebangsaan, terutamanya bagi temasya Sukan SEA di Thailand nanti.

“Terima kasih kepada semua jurulatih yang pernah membimbing saya, dan juga rakan-rakan yang banyak memberi dorongan ketika saya menghadapi waktu sukar selepas pulih dari kecederaan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan