KUCHING, 27 Feb: Perancangan bandar yang kukuh bukan sahaja melibatkan aspek fizikal pembangunan, tetapi juga merangkumi sektor ekonomi, pelaburan, pendidikan, dan pembangunan sosial.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menekankan pendekatan holistik amat diperlukan bagi memastikan pembangunan yang seimbang dan mampan.
Awang Tengah yang berkongsi pengalamannya ketika berada di Bergen, Norway dengan diperdengarkan taklimat berkaitan perancangan bandar yang menyeluruh dan teratur.
“Semasa saya berada di Bergen, Norway, Datuk Jailani dan saya telah diberikan satu syarahan mengenai perancangan bandar. Saya mendapati sistem konsul perancangan mereka sangat kukuh kerana ia bukan sahaja merangkumi tanggungjawab dalam perancangan bandar, tetapi juga dalam sektor ekonomi, pelaburan, pendidikan, dan pembangunan sosial,” katanya.
Menurut Awang Tengah, perancangan bandar yang baik haruslah berasaskan dua langkah utama, sebagaimana yang dipelajarinya daripada seorang profesor di universiti yang bertanggungjawab dalam menyemak perancangan bandar Bergen.
“Jika kita ingin merancang sesuatu, kita mesti mempunyai dua langkah utama: membina pelan induk (Master Plan) dan merangka program pelaksanaan (Implementation Program),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan LANDAS Summit 2025 di sebuah hotel di sini, pada Rabu.
Beliau menekankan bahawa tanpa pelan induk yang jelas dan program pelaksanaan yang tersusun, sesuatu perancangan bandar mungkin menghadapi cabaran dari segi keberkesanan dan impaknya kepada masyarakat.
Bagi memastikan setiap projek perancangan bandar dan pembangunan penempatan berjalan dengan baik, tiga prinsip utama perlu diterapkan.
“Dalam setiap perancangan bandar atau pembangunan penempatan, tiga prinsip utama perlu diterapkan: fungsi yang efektif (Functional), keperluan kesihatan yang terjamin (Healthy), dan estetika yang menarik (Beautiful),” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa setiap kawasan bandar yang dirancang haruslah memenuhi fungsi yang efektif bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan penduduk. Selain itu, aspek kesihatan juga perlu diutamakan, seperti memastikan persekitaran yang bersih dan akses kepada kemudahan kesihatan yang mencukupi.
“Dengan prinsip ini, kita dapat memastikan setiap projek perancangan yang dijalankan adalah teratur, bermanfaat, dan berkualiti,” tambahnya.
Baru-baru ini, Awang Tengah mengetuai delegasi rasmi ke Oslo, ibu negara Norway, yang terkenal dengan perancangan bandar lestari, sebagai rujukan dalam memperhalusi Pelan Induk Kapit.
Sehubungan itu, beliau bersama delegasinya diberi taklimat oleh pihak berkuasa Oslo mengenai pembangunan bandar raya itu, termasuk strategi infrastruktur dan perancangan bandar yang boleh dijadikan penanda aras bagi pertumbuhan Kapit.
Dalam sesi lawatan tersebut, Awang Tengah turut mengadakan perbincangan dengan pakar perancangan bandar serta wakil kerajaan tempatan Oslo bagi meneliti pendekatan terbaik dalam memastikan pembangunan Kapit selari dengan konsep pembangunan mampan.
Perbincangan itu merangkumi aspek pengangkutan, pemeliharaan alam sekitar, penggunaan tenaga hijau, serta keberkesanan sistem perancangan bandar bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk. – TVS