Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Stacy berjanji untuk memberikan sebuah pengalaman konsert yang epik dan penuh kejutan.

Konsert “Aku Stacy” di Sabah Jun 2025

SATU fenomena luar biasa bakal melanda Negeri di Bawah Bayu apabila Stacy, bintang pop sensasi tanah air, mengumumkan konsert solo mega pertamanya, “Aku Stacy”, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 21 Jun 2025, anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment dan ditaja khas oleh U Mobile.

Dikenali dengan persembahan bertenaga, vokal mantap dan gerak tari yang memukau, Stacy berjanji untuk memberikan sebuah pengalaman konsert yang epik dan penuh kejutan!

Lebih daripada sekadar sebuah persembahan, Aku Stacy adalah sebuah penghormatan khas buat peminat yang telah setia menyokong perjalanan seninya sejak awal kariernya lagi.

Dengan gabungan lagu-lagu hit, produksi bertaraf antarabangsa, serta elemen kejutan yang bakal dipersembahkan, Stacy bersedia untuk mencipta sejarah di negeri kelahirannya sendiri.

Mengulas tentang konsert ini, Stacy berkata dia pernah mengadakan beberapa konsert solo anjuran pihak penganjur, termasuk konsert ‘DFP Presents Stacy’ dua tahun lalu, serta ‘album tour’ di Sabah untuk album pertama, ‘Aku Stacy’.

“Namun, apa yang membezakan konsert pada tahun 2025 ini ialah penglibatan saya secara lebih mendalam dalam pemilihan tenaga kreatif yang terlibat serta dalam merealisasikan konsep keseluruhan konsert ini bersama pasukan saya sendiri.

“Saya memang merancang untuk mengadakan konsert ini di Sabah terlebih dahulu sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah menyokong muzik saya sejak tahun 2008,” jelasnya.

Konsert ini bakal menampilkan konsep unik yang menggambarkan perjalanan muzik Stacy sejak awal kariernya.

“Konsert Aku Stacy menjanjikan muzik dan visual yang menggambarkan pelbagai genre lagu saya, diperkemaskan dengan visual fesyen yang unik, sesuai dengan identiti muzik saya yang sering berkisar dalam genre ‘dance’ dan rock & roll.

“Persembahan kali ini akan diolah secara khas dari segi muzik, tarian dan fesyen, menjadikannya satu pengalaman yang benar-benar istimewa buat peminat,” ujarnya.

Sebagai seorang artis yang sinonim dengan persembahan penuh aksi, Stacy turut menjanjikan elemen kejutan buat para peminat.

“Konsert ini merupakan durasi persembahan terpanjang saya, dan saya tidak sabar untuk membawa kejutan-kejutan khas buat penonton di Sabah.

“Dalam 17 tahun berada dalam industri ini, banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk bertahan dan terus berkembang sebagai seorang penghibur.

“Saya ingin mengekspresikan segala emosi, seni, dan kreativiti saya melalui konsert ini,” tambahnya.

Bagi Stacy, setiap lagu yang bakal dipersembahkan mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Saya percaya setiap lagu membawa makna tersendiri dalam kehidupan kita, sama ada melalui lirik atau memori yang berkait dengannya.

“Saya ingin menyajikan persembahan yang lebih besar dari segi skala muzik dan tarian, termasuk elemen ‘pop culture’ seperti yang pernah saya bawakan dalam program ‘The Hardest Singing Show’ melalui lagu ‘Asmaradana’.

“Ini adalah momen istimewa buat saya, kerana saya dapat membawa persembahan sebegini ke tanah kelahiran saya sendiri,” jelasnya.

Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai penghargaan buat peminat yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya. Stacy berharap peminat akan memberikan sokongan penuh terhadap konsert ini.

“Saya harap mereka semua dapat memberikan sokongan dan kepercayaan yang tulus terhadap konsert Aku Stacy.

“Ini adalah konsert solo berskala besar pertama saya di tanah air sendiri dan saya mahu menjadikannya satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Ini juga adalah peluang saya untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah menyokong saya tanpa henti sejak dulu lagi,” ujarnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan