Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, serta Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood, bergambar bersama dif-dif kehormat sempena penyerahan sijil pensijilan MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS) di sebuah hotel di sini, malam Rabu. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Jabatan Tanah dan Survei Sarawak terima Pensijilan MS ISO 37001:2016 ABMS

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 27 Feb: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak secara rasmi menerima pensijilan MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS), menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kejayaan memperoleh pensijilan itu dalam tempoh tiga bulan mencerminkan budaya integriti yang telah lama menjadi pegangan jabatan tersebut.

“Syabas dan tahniah kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak kerana menerima pensijilan ini. Dalam tempoh tiga bulan sahaja, kita telah berjaya mencapainya, dan ini membuktikan komitmen jabatan dalam menegakkan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan LANDAS Summit 2025 di sebuah hotel di sini, pada Rabu.

Beliau menjelaskan bahawa ABMS bukan sekadar satu pensijilan, tetapi satu sistem yang akan menjadi garis panduan dalam usaha membanteras rasuah melalui aspek pengesanan, pencegahan, pengendalian, penguatkuasaan, penilaian serta penambahbaikan berterusan.

“ABMS ini berfungsi sebagai garis panduan pengurusan anti-rasuah bagi memastikan sistem kerja yang lebih efisien serta meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan warga jabatan,” ujarnya.

Dalam memastikan keberkesanan sistem ini, Awang Tengah turut menekankan kepentingan mengawal penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang kini semakin berpengaruh dalam pentadbiran dan urusan tanah.

“Teknologi AI membuka peluang luar biasa, tetapi kita juga perlu berhati-hati terhadap risikonya. Saya teringat satu insiden di Norway, di mana teknologi deepfake telah digunakan untuk meniru wajah dan suara pemimpin dunia. Di Malaysia sendiri, kita pernah melihat bagaimana video ucapan Presiden Donald Trump dalam Bahasa Iban menjadi tular,” katanya.

Menurutnya, jika teknologi ini disalahgunakan dalam urusan pentadbiran tanah, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan ketidakadilan kepada pemilik tanah.

“Bayangkan jika ada individu yang meniru suara pemilik tanah dan mengarahkan pegawai menghentikan proses pengukuran. Ini boleh menyebabkan kekeliruan dan akhirnya mengganggu sistem pentadbiran tanah. Justeru, kita perlu sentiasa berwaspada dan mengawal penggunaan teknologi ini dengan bijak,” tegasnya lagi.

Dalam konteks ABMS, beliau menjelaskan bahawa teknologi AI juga boleh dimanfaatkan untuk mengesan aktiviti mencurigakan, memastikan pemantauan lebih ketat dan mengukuhkan sistem integriti di JTS Sarawak.

Beliau turut mengingatkan warga jabatan supaya terus mengamalkan budaya kerja berintegriti dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan.

“Teruskanlah budaya membantu masyarakat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Anda semua berada di barisan hadapan dalam memastikan pembangunan dan kemajuan sosial di Sarawak berjalan dengan lancar,” tambahnya.

Dalam pada itu, Awang Tengah menegaskan kepentingan ilmu dan pengalaman dalam kalangan pegawai baharu sambil menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian JTS Sarawak.

“Jabatan Tanah dan Survei bukan sahaja hebat, tetapi antara yang paling hebat di Malaysia. Oleh itu, teruskan usaha, tidak perlu lagi berbicara panjang—kita terus bekerja dengan penuh dedikasi,” tegasnya.

Terdahulu, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sedang dalam proses membangunkan Sistem Pengurusan Anti Rasuah atau Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 37001:2016 dengan skop tajuk “Provision of Land, Planning, Valuation, Survey and Enforcement Of The Land Laws Under The Sarawak Land Code”.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, manual itu merupakan antara langkah proaktif bagi memperkukuh tadbir urus integriti serta menangani isu rasuah.

“Dengan adanya pensijilan ABMS MS ISO 37001:2016, ia adalah jaminan kepada masyarakat bahawa JTS Sarawak mempunyai prosedur dan perlindungan yang mencukupi daripada rasuah,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan