KUCHING, 27 Feb: AirBorneo dijangka menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Sarawak sekali gus akan merancakkan industri pelancongan di wilayah ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata lebih ramai pelancong apabila syarikat milik Kerajaan Sarawak itu menawarkan lebih banyak penerbangan dari luar negara.

“Masa untuk tiba di destinasi menjadi lebih singkat justeru ia akan menjadi lebih baik terutamanya dengan penerbangan adanya AirBorneo.
“Semestinya akan menambah baik jumlah pelancong yang datang ke Sarawak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, warga Pontianak, Kalimantan yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan sudah pasti akan memilih menggunakan pengangkutan udara untuk ke Kuching.
“AirBorneo akan menjadi penghubung kepada mereka untuk sampai ke wilayah ini dengan lebih cepat,” katanya.
AirBorneo akan beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dengan fokus utama untuk meningkatkan kesalinghubungan udara di rantau ini.
Selain meneruskan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (Rural Air Services, RAS) yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings, AirBorneo merancang untuk memperluas laluan ke destinasi antarabangsa seperti Singapura, Kuala Lumpur, Jakarta, Bali, Hong Kong dan Shenzhen. – TVS