KUALA LUMPUR, 27 Feb: Kerajaan negeri dicadangkan mencontohi Kerajaan Persekutuan untuk membahas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, berdasarkan maklum balas daripada Jabatan Audit Negara, LKAN setakat ini masih belum dibahaskan di mana-mana DUN.
“Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mencadangkang agar kerajaan-kerajaan negeri mengambil langkah dan mencontohi Kerajaan Persekutuan supaya memberi peluang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membahaskan LKAN di DUN masing-masing selaras dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika mencadangkan usul bagi membahaskan LKAN di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama beliau berkata kerajaan berpendapat LKAN wajar diteruskan perbahasannya di Dewan Rakyat untuk mendapatkan perhatian yang lebih mendalam daripada semua pihak.
“Kerajaan telah empat kali mengemukakan usul perbahasan mengenai LKAN yang mencatat sejarah dalam usaha mempertingkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan entiti awam.
“Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuhkan tadbir urus sektor awam dan diharapkan dapat menyokong pemantauan yang lebih berkesan serta meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan,” ujarnya.
Azalina turut menegaskan pentingnya untuk memastikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terus berfungsi dengan penuh integriti tanpa dipengaruhi oleh sebarang elemen politik atau kepentingan pihak tertentu. -TVS.