KUALA LUMPUR, 26 Feb: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan mengadakan sesi temu rapat bersama penggiat seni jalanan pada suku kedua tahun ini untuk mendapatkan input awal sebelum Dasar Hiburan Wilayah Persekutuan dirangka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata sesi itu juga akan melibatkan penghibur jalanan yang tidak mempunyai permit persembahan bagi mengenal pasti masalah dihadapi serta jenis bantuan boleh diberikan.
Setakat ini, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan permit rasmi kepada 579 seniman jalanan.
“Permit berkenaan merangkumi 374 orang dalam kategori Seni Persembahan Muzik (SPM) dan 205 individu bagi Seni Visual Kreatif (SVK) seperti badut, maskot, silap mata, dan pelukis inai.
“Langkah ini membolehkan Kuala Lumpur memiliki komuniti penghibur jalanan yang berkualiti serta mampu menjadi daya tarikan pelancongan,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai inisiatif DBKL untuk mengangkat kumpuln penghibur jalanan di Kuala Lumpur seperti di kota utama dunia termasuk London dan Paris dalam usaha menjadikan bandar raya itu sebagai kota budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Berhubung acara TMM 2026, Dr. Zaliha berkata seniman jalanan terutamanya di Kuala Lumpur disaran supaya tidak hanya memainkan lagu pop atau jiwang, tetapi turut memilih lagu klasik dengan sentuhan moden bagi membantu pelancong mengenali muzik tradisional Malaysia, seperti gamelan dan ghazal.
Selain itu, golongan berkenaan diharap membaiki penampilan, berpakaian sopan ketika membuat persembahan dan berinteraksi dengan penonton secara lebih profesional.
“(Selain itu) DBKL turut mewajibkan Bengkel Pemantapan KL Street Artist bagi setiap pembaharuan permit sebagai syarat utama untuk memastikan seniman jalanan terus mematuhi garis panduan dan meningkatkan kualiti persembahan.
“Inisiatif ini juga bertujuan memastikan seniman jalanan memahami peraturan dan garis panduan mengenai lokasi dibenarkan, waktu operasi dan had bunyi supaya persembahan tidak mengganggu suasana sekitar,” katanya.