KUALA LUMPUR, 26 Feb: Agensi di bawah Kementerian Ekonomi, Yayasan Peneraju meningkatkan jumlah pengambilan penerima bagi skim pembiayaan pendidikan fleksibel baharunya kepada tiga kali ganda bermula tahun ini.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, penstrukturan semula skim itu membolehkan jumlah pengambilan ditingkatkan dengan peruntukan yang sama seperti tahun sebelumnya iaitu RM150 juta.
“Bermula 2025, kita meningkatkan hampir tiga kali ganda berbanding dengan pengambilan tahunan sebelum ini.
“Contohnya, bagi jurusan perakaunan (Chartered Accountancy), setiap tahun jumlah pengambilannya ialah 700, tetapi tahun ini dinaikkan kepada 2,000. Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), daripada 500, kita tingkatkan kepada 1,500.
“Begitu juga dengan jurusan teknologi, kita akan meningkatkannya kepada 5,000 pengambilan setiap tahun berbanding 3,000 hingga 4,000 untuk tempoh 10 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Skim Baharu Yayasan Peneraju di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, langkah untuk meningkatkan jumlah itu diyakini akan membantu dalam mempercepatkan sasaran Yayasan Peneraju untuk melahirkan 100,000 profesional Bumiputera dalam tempoh antara 2026 hingga 2030.
Rafizi menjelaskan, jumlah itu melibatkan profesional dalam jurusan kewangan, teknikal, dan teknologi.
“Kita menukar skim pembiayaan ini supaya pelajar atau penerima jelas bahawa ini adalah skim kewangan dan bukannya wang percuma. Sekiranya mereka memilih RM150,000, mereka sedar perlu untuk membayar semula.
“Langkah kerajaan untuk meningkatkan pengambilan sehingga tiga atau empat kali ganda ini bagi membolehkan kita mencapai sasaran untuk melahirkan 100,000 profesional,” jelasnya.
Menurut Yayasan Peneraju, pengambilan pertama memberi tumpuan kepada golongan dewasa yang bekerja dan tidak bekerja, menawarkan kursus teknologi dengan sasaran 7,200 penyertaan.
Skim pembiayaan itu juga akan diperluaskan kemudian untuk merangkumi kumpulan sasaran yang lebih luas, termasuk pensijilan dalam bidang perakaunan, perkhidmatan perniagaan dan kewangan, bagi memastikan lebih banyak peluang peningkatan kemahiran sepanjang tahun. – TVS