KUCHING, 26 Feb: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) optimis bahawa sektor pembuatan akan menjadi antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan sasaran menyumbang kepada 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak menjelang tahun 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan meyakini matlamat terbabit berupaya dicapai menerusi usaha bersepadu kerajaan serta penglibatan aktif sektor swasta dan usahawan tempatan.
“Kementerian kita telah diamanatkan untuk menerajui sektor pembuatan dan pembangunan keusahawanan.
“PCDS 2030 telah mensasarkan sektor pembuatan akan menyumbang 30 peratus kepada KDNK Sarawak, melahirkan 10,000 usahawan baharu dan 30,000 usahawan mengadaptasi platform digital menjelang 2030,” katanya pada Majlis Amanat Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya setakat ini sektor pembuatan telah menyumbang antara 26 hingga 28 peratus kepada KDNK Sarawak.
“Seramai 5,000 usahawan baharu telah berdaftar dan lebih daripada 15,000 usahawan telah mengadaptasi platform digital.
“Pencapaian ini amat memberangsangkan dan saya yakin kita akan dapat merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan dalam PCDS 2030,” ujarnya.
Tambahnya dalam merangka hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), kementerian akan menilai semula serta menambah baik strategi dan inisiatif sedia ada untuk menyokong keperluan industri mengikut perkembangan ekonomi global.
“Kita sedang membangunkan Polisi Pelaburan Sarawak dan dijangka siap pada tahun ini. Sehubungan itu, strategi seperti yang digariskan dalam Polisi Pelaburan Sarawak akan dilaksanakan untuk meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Kita akan terus memperkasa dan meningkatkan keupayaan serta kapasiti golongan usahawan kita agar kekal berdaya saing di peringkat kebangsaan dan global,” katanya. -TVS