KUCHING, 26 Feb: Sarawak harus membuktikan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat pendidikan prasekolah dapat melahirkan murid yang cemerlang.
Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dilah Tuah berkata, jika terbukti model yang digunakan itu berjaya, maka tidak salah sekiranya Sarawak ingin melebarkannya kepada negeri-negeri lain yang berminat untuk mengaplikasikan AI dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mereka.
“Pada masa kini, guru-guru tidak harus melarikan diri daripada menggunakan teknologi termasuk AI dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mereka.
“Ini kerana, murid yang kita ajar pada masa ini adalah pengguna AI yang lebih mahir pada masa akan datang. Jadi, pengenalan AI pada peringkat prasekolah dalam kalangan guru merupakan satu perkara yang sangat disokong dan perlu dilaksanakan secara teratur,” katanya ketika dihubungi TVS.
Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan AI bukan hanya memudahkan serta meringankan tugas guru, tetapi dalam masa yang sama juga memberi impak yang signifikan kepada kemenjadian pelajar pada masa akan datang.
Selain itu, katanya, guru harus mengaplikasikan AI untuk meningkatkan kecekapan pembelajaran mereka.
“Penggunaan AI ini boleh menyesuaikan tahap pembelajaran mengikut keperluan individu, secara tidak langsung meningkatkan minat pelajar untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira kerana AI dapat menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan,” katanya.
Tambahnya lagi, ibu bapa juga harus memastikan anak-anak menggunakan AI untuk pembelajaran dan bukan untuk perkara yang tidak betul.
Sebagai contoh, katanya, ibu bapa perlu menetapkan masa anak-anak dalam melayari internet dan tidak sewenang-wenangnya memberikan gajet kepada anak-anak kerana ini bukan sahaja melalaikan mereka, malah boleh menyebabkan mereka hilang minat untuk belajar.
Dalam pada itu, katanya, kita juga perlu menggalakkan anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti fizikal, permainan sosial dan pembelajaran secara langsung dengan interaksi manusia kerana tidak mahu mereka berhubung dengan robot agar anak-anak faham bahawa AI hanyalah alat.
Manakala, interaksi secara bersemuka adalah penting untuk mewujudkan satu suasana yang lebih baik kepada komuniti. – TVS