Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyempurnakan Majlis Amanat Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan Sarawak di sini, hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Polisi pelaburan Sarawak dijangka siap tahun ini

ByVanessa Enjop

KUCHING, 26 Feb: Polisi Pelaburan Sarawak dijangka siap diperhalusi pada tahun ini bagi dikemukakan kepada Kabinet negeri, kata Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya polisi itu bertujuan membangunkan strategi kukuh bagi meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam sektor pelaburan berteknologi tinggi dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut beliau meskipun dasar pelaburan telah sedia ada, kerajaan komited untuk menambah baik dan memperluas bidang pelaburan strategik yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

“Kita sedang memperhalusi Polisi Pelaburan Sarawak untuk memastikan ia lebih komprehensif. Fokus utama kita ialah menarik pelaburan berteknologi tinggi, dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar (environmental sustainability),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan Sarawak di sini, hari ini.

Beberapa sektor utama akan diberi keutamaan di bawah polisi ini, kata Awang Tengah termasuk teknologi maju yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.

“Kita juga akan mengkaji dasar sedia ada, membuat penambahbaikan jika perlu, dan memperkenalkan inisiatif baharu bagi memastikan polisi ini memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan,” tambahnya.

Selain menarik pelaburan dari dalam dan luar negara, dasar ini turut dirangka untuk memberi manfaat terus kepada rakyat Sarawak, terutama dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang pembangunan ekonomi tempatan.

“Kita memahami kepentingan sektor PKS sebagai tulang belakang ekonomi. Oleh itu, kita bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperbaiki ekosistem keusahawanan dan memastikan usahawan tempatan mampu bersaing di peringkat nasional dan global,” katanya.

Tambahnya kerjasama strategik turut dijalin dengan World Bank untuk membangunkan dasar keusahawanan yang mampan, termasuk menawarkan insentif kepada usahawan bagi memudahkan mereka mengembangkan perniagaan.

“Kami percaya dengan kerangka dasar yang kukuh dan kerjasama strategik bersama pelabur serta organisasi antarabangsa seperti World Bank, Sarawak mampu menjadi destinasi pelaburan utama di rantau ini,” ujarnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan