Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemprosesan dadah jenis heroin serta merampas dadah bernilai RM105,600 dalam serbuan di sekitar George Town, dan Kulim, Kedah pada Isnin lepas. Foto hiasan Envato

Polis tahan empat individu, rampas 11 kg heroin bernilai RM105,600

ByBernama

GEORGE TOWN, 26 Feb: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemprosesan dadah jenis heroin serta merampas dadah bernilai RM105,600 dalam serbuan di sekitar George Town, dan Kulim, Kedah pada Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata serbuan bermula pada 10 pagi hingga 7 malam oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu turut membongkar sebuah premis di Kulim yang dijadikan makmal pemprosesan dadah.

Beliau berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki di tepi jalan dan hasil pemeriksaan di dalam sebuah kenderaan telah merampas 10 bungkusan berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 4.5 kilogram (kg) bernilai RM43,200.

“Susulan tangkapan itu, polis telah ke tempat cucian kereta di kawasan Bayan Lepas dan hasil pemeriksaan di situ menemukan 15 bungkusan berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 6.5 kg bernilai RM62,400.

“Hasil maklumat dan risikan polis kemudian berjaya menahan dua lelaki dan seorang perempuan warganegara tempatan secara berasingan di premis di kawasan Kulim, Kedah. Hasil pemeriksaan di premis itu telah merampas pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Alwi berkata kesemua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 11 kg bernilai RM105,600 selain turut menyita masing-masing dua kereta dan motosikal bernilai RM213,000.

Katanya, hasil risikan mendapati sindiket terbabit mula aktif dalam kegiatan pemprosesan dadah sejak pertengahan tahun lepas dengan dadah yang dirampas boleh digunakan 55,000 orang.

“Hasil saringan air kencing mendapati satu tangkapan positif dadah jenis thc (tehtrahydrocannabinol) manakala semakan mendapati dua tangkapan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata kesemua tangkapan berumur antara 24 hingga 37 tahun itu direman selama tujuh hari hingga 3 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan