KUCHING, 26 Feb: Dalam usaha untuk memperkukuh aksesibiliti perkhidmatan kesihatan Sarawak dan Sabah, PMG Healthcare Group (PMG) hari ini menandatangani kerjasama strategik bernilai RM74 juta bersama pengurus dana ekuiti, Ikhlas Capital.
Pengerusi Eksekutif PMG Healthcare Group Dr. Chieng King Chong berkata kerjasama ini membolehkan pihaknya mengembangkan model perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu dan berkualiti tinggi ke seluruh negara.
“Ia juga akan memacu usaha menaik taraf fasiliti, melaksanakan teknologi inovatif dan terus menawarkan rawatan mampu milik dengan harga berpatutan melalui strategi perolehan yang lebih efektif.
“Usaha ini akan memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti dapat diakses oleh lebih ramai komuniti, secara fizikal mahupun digital,” katanya pada majlis yang dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Nazir Razak berkata pelaburan dalam PMG Healthcare bukan sekadar soal kewangan.
Menurutnya, pihaknya menyifatkan Ikhlas Capital sebagai rakan strategik dalam misi PMG untuk membentuk masa depan industri penjangaan kesihatan dan memberikan rawatan kesihatan yang berkualiti.
“Kami juga berkongsi visi untuk menyokong perniagaan milik Sarawak yang cemerlang dan membantu untuk terus mengembangkan mereka di peringkat nasional dan serantau, sambil menyumbang kepada transformasi ekosistem penyampaian kesihatan,” katanya.
Menurut kenyataan yang diedarkan kepada media, kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh operasi PMG, serta memperluas liputan penjagaan kesihatan primer yang berkualiti tinggi kepada komuniti terpencil di seluruh Malaysia.
Ditubuhkan pada 2012 di Sarikei, Sarawak, PMG telah berkembang dengan pesat dan kini mengendalikan rangkaian luas yang terdiri dari 152 farmasi komuniti, 28 klinik perubatandan 8 klinik pergigian di seluruh negara.
Keunikan PMG adalah penekanannya terhadap khidmat kepada pelanggan.
“Komitmen tidak berbelah bahagi PMG memastikan setiap pesakit menerima bimbingan profesional dan peribadi yang disesuaikan dengan keperluan kesihatan masing-masing, agar rawatan terbaik dapat diberikan,” kata kenyataan itu.