KUCHING, 26 Feb: Sarawak terus bergerak ke hadapan dengan komitmen yang kukuh untuk menjadi pemain utama dalam sektor tenaga terutamanya dalam bidang gas dan tenaga boleh diperbaharui.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak sedang berusaha untuk mengubah sumber gas yang ada kepada nilai yang lebih tinggi melalui inovasi dan teknologi.
Katanya, sebagai negeri yang kaya dengan sumber gas asli, Sarawak kini memperkenalkan konsep pengagregatan gas sebagai salah satu pemangkin utama dalam merancakkan ekonomi hijau dan tenaga bersih di masa hadapan.
“Kita mempunyai 60 peratus rizab gas di Malaysia.Kita tidak boleh melihat gas itu seperti itu dan kita mengembangkan nilai tambah daripada komponen-komponen dalam gas itu sendiri.
“Itu sebabnya saya bercakap tentang hidrogen. Hidrogen ialah gas. Ia boleh didapati daripada air melalui proses elektrolisis air. Sebagai contoh, anda boleh memecahkan hidrogen dan oksigen. Anda mengekstrak hidrogen dan hidrogen menjadi bahan api. Bahan api yang paling bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-9 Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Dewan Serba Guna CENTEXS di Santubong hari ini.
Abang Johari menegaskan Sarawak kini beralih kepada konsep pengagregatan gas, di mana gas yang dihasilkan daripada pelbagai sumber, seperti metana dan hidrogen akan digabungkan untuk membentuk satu ekosistem tenaga yang lebih lestari dan efektif.
Katanya, dengan peningkatan keupayaan untuk mengagregatkan gas ini, Sarawak berpotensi untuk mencipta industri baharu yang menguntungkan, yang bukan sahaja memenuhi permintaan domestik tetapi juga dapat dieksport ke negara-negara jiran.
“Kita juga menghasilkan produk lain seperti metanol, etilena, propilena dan itulah tindak balas berantai daripada gas.Itulah sebabnya Kerajaan Sarawak mahu pergi ke pengumpul gas. Dengan gas itu, kita mencipta industri baharu,” ujarnya.
Ujar beliau, Sarawak juga mempunyai potensi besar untuk menghasilkan gas sintetik seperti metana (CH4), yang boleh digunakan sebagai bahan bakar untuk penjanaan kuasa.
Katanya, teknologi ini bukan sahaja menyokong inisiatif tenaga hijau negeri, tetapi juga menawarkan penyelesaian alternatif kepada tenaga nuklear, mengurangkan pergantungan kepada bahan bakar fosil, sekali gus menyokong agenda Sarawak untuk mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030. -TVS