KUALA LUMPUR, 26 Feb: Kementerian Sumber Manusia komited untuk memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun ini.
Menterinya Steven Sim berkata, kelulusan RUU itu perlu disegerakan kerana ia melibatkan nasib lebih sejuta pekerja gig di negara ini.
Jelasnya, tiada mekanisme rasmi atau undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan dahulu bagi melindungi nasib pekerja gig sebelum ini.
“Tahun ini, KESUMA sudahpun mempunyai draf terakhir. Ia menanti kelulusan kabinet dan kemudiannya akan saya bentangkan di Parlimen,” katanya kepada pemberita pada Pelancaran National Training Week (NTW) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Sementara itu, mengenai NTW 2025, Steven menjelaskan kementeriannya menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya sejuta rakyat Malaysia sepanjang tempoh seminggu pelaksanaan program tersebut.
Kata beliau, seramai 375,000 peserta telah melibatkan diri dalam NTW 2024, manakala 250,000 pada NTW 2023.
“NTW menawarkan lebih kurang 70,000 kursus latihan percuma dengan nilai sehingga RM750 juta, ini dibiayai oleh penyedia-penyedia latihan dan pihak swasta,” katanya.
Steven memberitahu, NTW bukan sekadar karnival latihan kemahiran kebangsaan terbesar, malah turut melibatkan kerjasama negara-negara anggota Asean.
“Jadi, ada pelbagai jenis latihan dari segi kemahiran berteknologi tinggi. Contohnya, kecerdasan buatan, data analitik, sekuriti siber kepada latihan kemahiran berbentuk soft skill, komunikasi, literasi kewangan dan celik kewangan,” katanya. – TVS