MIRI, 26 Feb: Lembaga Pelabuhan Miri mencatat sejarah sebagai pelabuhan pertama di Sarawak yang melaksanakan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) MS ISO 37001 dalam perkhidmatannya.
Menurut Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri, Dato Paulus Palu Gumbang, langkah ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan sistem yang berintegriti tinggi dan memastikan tadbir urus yang baik di semua peringkat organisasi.
“Sistem ini akan dikendalikan oleh Unit Integriti Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) dan dijangka memperoleh pensijilan pada Julai 2025. Langkah ini diambil untuk memastikan pengurusan risiko rasuah yang lebih cekap melibatkan aspek sumber manusia, prosedur, dan proses kerja,” katanya semasa berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-42 Pelabuhan Miri di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau yakin Pelabuhan Miri akan terus meningkatkan perkhidmatan dan kecemerlangannya demi manfaat semua pihak berkepentingan.
“Pelabuhan Miri sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan operasi dan daya saingnya, melalui pelbagai kerjasama dengan sektor swasta dan agensi berkaitan.
Tambahnya, strategi perniagaan “Memacu Pertumbuhan Melalui Kolaborasi Strategik” telah membolehkan Pelabuhan Miri mencatat prestasi kewangan yang membanggakan.
Pada tahun 2024, keuntungan sebelum cukai Pelabuhan Miri mencecah RM34.19 juta meningkat 620.2% berbanding RM4.75 juta pada tahun 2023 walaupun berdepan cabaran ekonomi dan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang memberi kesan kepada dagangan global.
“Dengan projek pendalaman saluran akses yang sedang berlangsung, Pelabuhan Miri bakal memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pelbagai industri termasuk minyak dan gas, kelapa sawit, pembinaan kapal dan pembaikan kapal,” TVS