MIRI, 26 Feb: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan pembangunan pelabuhan laut dalam di luar delta Kuala Baram yang berpotensi menjadi antara pelabuhan terdalam di dunia dengan kedalaman 50 meter dan terletak hanya 15 kilometer dari pantai berhampiran pelantar benua.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan berhasrat membangunkan Kuala Baram sebagai pelabuhan serba guna yang mampu mengendalikan pelbagai jenis kargo termasuk kargo am, kontena, cecair dan pukal kering serta kapal persiaran.
“Pembangunan ini bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo tetapi juga merangsang pertumbuhan sektor ekonomi lain seperti pembinaan kapal, pembaikan kapal, pangkalan bekalan dan penapisan minyak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi di Majlis Ulang Tahun ke-42 Pelabuhan Miri di sini, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, kerajaan turut melihat potensi besar untuk mengembangkan Pelabuhan Miri ke hadapan laut Kuala Baram untuk meningkatkan daya saing globalnya.
Jelasnya, kerajaan juga mengenal pasti Pelabuhan Miri sebagai salah satu Zon Bebas di Sarawak yang bakal membuka lebih banyak peluang ekonomi dan perdagangan.
“Kerajaan melihat potensi besar Pelabuhan Miri sebagai hab perdagangan serantau dan global dengan memanfaatkan kedalaman semula jadi perairan delta Baram.
“Dengan visi yang jelas di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, saya yakin Pelabuhan Miri akan mencapai status pelabuhan bertaraf dunia menjelang tahun 2030,” katanya.
Tambahnya, Pelabuhan Miri bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri dengan menarik lebih banyak pelaburan ke utara Sarawak serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya di Miri. -TVS