KUCHING, 26 Feb: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia di Dewan Rakyat hari ini menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kebebasan dan akauntabiliti media negara.
Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo Teck Wei, menyifatkan penubuhan majlis itu sebagai langkah bersejarah yang menegaskan kepentingan media bebas dan adil di Malaysia.
“Majlis ini yang pertama kali dicadangkan pada tahun 1973 oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein membuktikan kesungguhan pihak berkepentingan dalam memperkukuh landskap media negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menekankan bahawa penubuhan majlis itu bukan sekadar langkah untuk memastikan profesionalisme dalam kalangan pengamal media tetapi juga satu jaminan kepada masyarakat bahawa etika kewartawanan akan terus dipelihara.
Lebih signifikan, Ronnie Teo memuji penyertaan wakil media dari Sabah dan Sarawak dalam barisan kepimpinan majlis tersebut yang menurutnya akan membawa pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani cabaran serta keperluan media di kedua-dua wilayah.
“Keterangkuman ini memastikan bahawa suara dan perspektif media di Malaysia Timur tidak diketepikan, sekali gus memperkukuhkan jalinan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam ekosistem media negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, KDJA turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, serta Kerajaan Persekutuan atas komitmen mereka dalam merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia.
“Kami menantikan proses pemilihan ahli majlis yang bakal menerajui badan ini serta mekanisme yang akan memastikan standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab terus dipertahankan,” ujar Ronnie Teo.
Terdahulu, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Majlis Media Malaysia 2024 yang berfungsi untuk menghasilkan kod etika, menetapkan standard kewartawanan, dan mengawal selia industri media.
Menurut Teo, sesi libat urus antara Kementerian Komunikasi dan Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia membuktikan komitmen kerajaan terhadap kebebasan media. — TVS