KUALA LUMPUR, 26 Feb: Dalam perkembangan dunia digital yang menjadikan media sosial sebagai platform utama untuk ahli masyarakat berkongsi rutin harian, pelakon yang dikenali dengan sikap lemah lembutnya Datin Lisa Surihani tidak ketinggalan memanfaatkan wahana itu.
Memiliki lebih 4.5 juta pengikut di Instagram, empunya nama sebenar Lisa Surihani Mohamed ini bagaimanapun menegaskan perkongsian beliau bukan bertujuan menarik perhatian atau sekadar menuruti trend, sebaliknya lebih kepada peringatan buat diri sendiri.
“Kalau saya rasa saya mahu kongsikan sesuatu, maka saya akan kongsikan. Mungkin tidak elok untuk kita bercakap bagi pihak orang lain, tetapi kadang-kadang, kalaupun kita kongsikan (sesuatu yang mungkin ada kaitan dengan orang lain), hantaran itu lebih bersifat peringatan untuk diri sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pertunjukan fesyen Hikayat Ariani di sini.
Menurut isteri komposer dan pengarah terkenal Datuk Yusry Abdul Halim itu lagi, rata-rata hantaran yang dimuat naik ke laman Instagram beliau adalah berkenaan sesuatu yang menyentuh hatinya, sama ada dalam bentuk petikan kata-kata atau cerminan pengalaman hidupnya.
“Selalunya, bila kita nampak petikan kata-kata yang mungkin menyentuh hati atau dapat membantu kita mendepani sesuatu, kita akan kongsikan sebagai ‘ini satu peringatan yang baik untuk diri saya,’” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.
Pada masa sama, pelakon Istanbul Aku Datang itu meluahkan kesyukuran sekiranya hantaran beliau meninggalkan kesan positif pada pengikutnya.
“Kalau orang lain rasa terkesan ataupun membawa manfaat kepada mereka juga, alhamdulillah. Mungkin hantaran itu dapat membantu seseorang yang sedang mengharungi situasi sama di luar sana,” katanya. -TVS