KUCHING, 26 Feb: Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian mendedahkan kekurangan tenaga kerja pakar perubatan dalam bidang jantung antara kekangan yang didepani Sarawak ketika ini.
Menurutnya perkara itu dikenal pasti susulan kerajaan negeri berhasrat membina lebih banyak pusat jantung mini selepas di Bintulu.
“Mini Pusat Jantung telah bermula di Bintulu. Kami ingin membuat lebih banyak Mini Pusat Jantung namun kita memerlukan tenaga kerja,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Tandatangan Rakan Strategik di Sheraton hari ini.
Dr. Sim menjelaskan bahawa kekurangan tenaga pakar dalam bidang tersebut menyebabkan kerajaan sukar untuk melaksanakannya di Bahagian lain di negeri ini.
“Saya ditanya, banyak rakyat Sarawak mengatakan mereka tiada peluang pekerjaan yang dibayar seperti di Kuala Lumpur, saya mengatakan kepada mereka, saya tidak mendapatkan pekerjaan di Sarawak apabila saya kembali ke rumah. 20 tahun yang lalu, 45 ribu anak Sarawak mendapat manfaat dari Pusat Jantung,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar tenaga pakar yang lahir di Sarawak dapat berkhidmat terutamanya dalam bidang perubatan memandangkan wilayah ini masih kekurangan tenaga pakar jantung.
Terdahulu, Dr. Sim yang menghadiri Majlis Tandatangan Rakan Strategik menjadi saksi jalinan kerjasama itu di antara Public Healthcare Group (PMG) dan Ikhlas Capital. -TVS