KUCHING, 26 Feb: Kuching City FC mengumumkan perubahan kemasukan percuma bagi perlawanan Liga Super 2024/25 susulan jadual perlawanan baharu yang telah ditetapkan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kuching City, pada awalnya kemasukan percuma diumumkan bagi perlawanan menentang Selangor FC pada 16 Mac 2025, namun selepas perbincangan lanjut, kelab memutuskan untuk mengalihkan tawaran kemasukan percuma tersebut kepada perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac 2025.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pemindahan tarikh perlawanan serta pembelian tiket yang telah dilakukan oleh penyokong kedua-dua pasukan.
Berikutan perubahan ini, Kuching City FC membatalkan kemasukan percuma bagi perlawanan menentang Selangor FC pada 16 Mac 2025. Penyokong yang ingin menyaksikan perlawanan tersebut perlu membeli tiket seperti biasa.
Pihak kelab memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul akibat perubahan ini dan menghargai pemahaman serta sokongan padu penyokong Kuching City FC.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, kelab berharap agar penyokong membanjiri stadium pada 12 Mac untuk memberikan semangat kepada pasukan dalam aksi menentang Kedah Darul Aman FC. – TVS