Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ibu bapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan dalam masalah anak-anak yang belum menguasai kemahiran 3M. Foto hiasan Envato

Ibu bapa perlu main peranan dalam memastikan anak-anak kuasai 3M

ByAsmah Adenan

KUCHING, 26 Feb: Ibu bapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan dalam masalah anak-anak yang belum menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira).

Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dilah Tuah berpendapat bahawa kemahiran anak-anak dalam penguasaan 3M adalah pada peringkat awal, iaitu bermula dari rumah.

“Anak-anak berada di sekolah untuk beberapa jam sahaja, manakala ibu bapalah yang lebih lama bersama mereka. Apa yang boleh dilakukan ibu bapa adalah menggalakkan anak-anak mereka membaca.

“Kita ada menjalankan satu kajian iaitu di Bau (Reading with Mom) yakni ibu bapa yang buta huruf disarankan supaya memegang surat khabar ataupun buku supaya anak-anak mereka dapat memerhati, sekali gus meningkatkan minat mereka dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira,” katanya ketika dihubungi TVS.

Katanya, terdapat juga murid-murid yang kurang pendedahan terhadap kemahiran 3M disebabkan tidak semua murid menghadiri prasekolah atau menerima pendidikan awal yang mencukupi sebelum mereka memasuki Tahun Satu.

Ibu bapa, katanya, boleh menerapkan minat membaca dalam diri anak-anak dengan membeli banyak buku bergambar atau alat bantu mengira yang dapat menarik minat anak-anak untuk mempelajarinya, serta menyediakan ruang belajar yang selesa di rumah.

Selain itu, katanya, murid-murid yang lemah dalam pelajaran lebih cenderung untuk belajar dalam keadaan yang menyeronokkan, seperti sesi pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan permainan.

“Guru-guru harus menggunakan teknik interaktif seperti lagu, kad imbas dan permainan bahasa untuk menarik minat murid, selain melaksanakan pendekatan pembelajaran yang berbeza iaitu untuk membezakan murid berkeperluan khas dengan murid yang sudah boleh menguasai 3M,” katanya.

Jelas beliau lagi, untuk menjadi sebuah negara maju, sesebuah negara itu memerlukan generasi muda yang mahir dalam ilmu pengetahuan, dan asasnya adalah melalui penguasaan 3M.

“Kemahiran 3M ini adalah asas yang menyumbang kepada perkembangan bidang mata pelajaran yang diperlukan oleh negara seperti STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik).

“Satu kerugian kepada negara jika anak-anak tidak dapat menguasai kemahiran 3M dengan baik, maka keputusan peperiksaan mereka dalam peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), misalnya, tidak cemerlang dan ini akan menyebabkan mereka terasa mempunyai motivasi rendah untuk tidak menghadiri peperiksaan, seperti yang berlaku kepada beberapa calon SPM baru-baru ini,” katanya.

Dari segi perkembangan sosial pula, katanya, kurangnya kemahiran membaca dan menulis boleh menyukarkan komunikasi sesama guru dan rakan sebaya yang lain, dan ini akan menyebabkan mereka rasa terpinggir serta rendah diri.

Bagi kesan jangka panjang, katanya, murid-murid yang tidak menguasai kemahiran 3M akan sukar memahami silibus yang diajar di peringkat sekolah rendah, sekali gus membebankan guru-guru apabila mereka memasuki peringkat menengah kelak.

“Jika intervensi tidak dilakukan pada peringkat awal, kita bakal dipimpin oleh mereka yang tidak menguasai kemahiran 3M dengan baik dan ini akan merisaukan pada masa akan datang.

“Selain itu, peluang pekerjaan kepada murid ini apabila berada di pasaran pekerjaan juga akan mencabar. Sebagai contoh, pada hari ini kita nak dapatkan pekerjaan dengan hanya memiliki SPM pun agak mencabar kerana kesemua pekerjaan memerlukan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan