KUALA LUMPUR, 26 Feb: Cameron Highlands mencatatkan sejarah baharu pada tahun 2024 sebagai tahun terpanas dengan purata suhu harian mencapai 18.91 darjah Celsius.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, suhu Cameron Highlands menunjukkan trend peningkatan terutamanya dalam tempoh 10 tahun terakhir berdasarkan rekod data meteorologi dari 1969 hingga 2024.
“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.86 darjah Celsius berbanding purata suhu harian jangka panjang (1991-2020), iaitu 18.05 darjah Celsius.
“Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Cameron Highlands ialah 27.9 darjah Celsius pada Mei 1998 manakala suhu terendah pula adalah 10.0 darjah Celsius pada Februari 1989,”- katanya ketika menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai statistik perubahan iklim di kawasan Cameron Highlands serta jumlah kes kejadian tanah runtuh di kawasan itu.
Berhubung jumlah kejadian tanah runtuh, beliau berkata terdapat 689 kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands telah direkodkan dari tahun 1961 sehingga kini.
Huang berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah dipertanggungjawabkan melaksanakan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) di mana meneruskan projek ini, sebanyak 45 cerun kritikal berisiko tinggi telah dikenalpasti di kawasan Cameron Highlands.
“JMG sedang melaksanakan pemantauan secara tahunan 19 cerun kritikal bermula 2021 sehingga kini. Selain itu, sebanyak lima lokasi di Cameron Highlands telah dipasang peralatan sistem amaran awal (early warning system).
“Kesemua maklumat bencana geologi tanah runtuh dan cerun kritikal akan dikongsikan bersama agensi dan jabatan berkepentingan yang terlibat bagi tujuan pengurusan dan mitigasi cerun serta kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana geologi tanah runtuh,” katanya. – TVS