KUCHING, 26 Feb: Pelaksanaan Dasar Permit Import (AP) Terbuka dijangka membuka lembaran baharu dalam industri automotif di Sarawak, sekali gus meningkatkan persaingan dalam kalangan pemegang AP di negeri ini.
Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak, Datuk Ismail Abang Saufi berkata, walaupun dasar ini memberi cabaran baharu, pihaknya menyambut baik perubahan tersebut dan bersedia meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

“Dengan adanya dasar baharu ini, memang ada kesan kepada pemegang AP sedia ada. Namun, kita memandangnya secara positif kerana ia memberi peluang kepada kita untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan jualan kepada pembeli.
“Bulan lepas, kami membawa beberapa syarikat baharu ke Jepun untuk bertemu dengan pembekal dan melawat ‘Auction House’. Ini sebahagian daripada usaha kami membantu mereka memahami proses perniagaan dalam industri ini,” katanya ketika ditemui TVS semasa menghadiri Program ‘Back to School’ yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Encik Buyong dan SK Samariang di sini pada Selasa.
Menurutnya meskipun wujud persaingan lebih sengit, beliau yakin syarikat yang memberikan perkhidmatan terbaik akan terus kekal kompetitif dan mendapat kepercayaan pelanggan.
“Kami menerima persaingan ini dengan hati terbuka. Apa yang penting, kami akan memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan selepas jualan terbaik. Pembeli hari ini, lebih bijak dan mereka menilai bukan sahaja harga, tetapi juga aspek lain seperti waranti dan kebolehpercayaan kenderaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya harga kenderaan import akan bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan di pasaran.
“Harga kereta import bergantung kepada penawaran dan permintaan. Namun, fokus utama kami bukan hanya pada harga, tetapi juga pada perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” ujarnya.
Tambahnya, Sarawak kini mempunyai 30 syarikat pemegang AP dengan 37 ahli berdaftar, termasuk tujuh syarikat wakil penjual utama seperti Perodua, Toyota dan Proton.
Untuk rekod, Dasar AP Terbuka membolehkan syarikat Bumiputera yang memenuhi syarat tertentu mengimport kenderaan baharu atau terpakai dari luar negara.
Ia bertujuan merancakkan sektor automotif tempatan dengan meningkatkan persaingan sihat dan membuka lebih banyak peluang kepada usahawana Bumiputera di negara ini. – TVS