KUCHING, 25 Feb: Taska di tempat kerja (TTK) menjadi keutamaan dalam memastikan kesejahteraan ibu bapa yang bekerja serta perkembangan awal kanak-kanak yang lebih berkualiti.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, taska yang berdaftar dan dikendalikan mengikut piawaian keselamatan serta pendidikan awal kanak-kanak mampu menyediakan sokongan holistik kepada keluarga yang bekerja.
“Kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan awal kanak-kanak dengan menyediakan fasiliti berkualiti yang dapat membantu pembelajaran serta membentuk karakter dan jati diri anak-anak sejak usia muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Taska Di Tempat Kerja (TTK) Sedidik di Bangunan Baitul Makmur Dua, Kuching, hari ini.
Taska ini dirasmikan isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Menurut Fatimah, antara aspek yang ditekankan dalam pengurusan taska di tempat kerja ialah keselamatan fizikal dan emosi kanak-kanak.
Taska perlu mempunyai nisbah guru kepada murid yang bersesuaian bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perhatian dan didikan sewajarnya.
“Sebagai contoh, bagi kanak-kanak berusia bawah satu tahun, nisbah yang ditetapkan ialah seorang pengasuh bagi setiap tiga kanak-kanak, manakala bagi yang berusia satu hingga tiga tahun, nisbahnya ialah seorang pengasuh bagi lima kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, aspek pemantauan perkembangan kanak-kanak turut diberikan perhatian.
Setiap kanak-kanak akan mempunyai fail perkembangan peribadi yang membolehkan ibu bapa serta tenaga pengajar memantau pertumbuhan dan pencapaian anak-anak mereka.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda kelewatan perkembangan, ibu bapa akan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC),” ujarnya. – TVS