KUCHING, 25 Feb: Santubong International Nature Trail Run (SINTR) 2025 bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal peserta tetapi juga memberi peluang kepada pelari untuk menikmati keunikan ekosistem hutan hujan tropika di Taman Negara Santubong.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata dengan penyertaan antarabangsa yang semakin meningkat, beliau yakin acara ini boleh terus berkembang dan menjadi tarikan pelancongan sukan utama di Sarawak.

“Kita boleh pertimbangkan untuk menambah kategori jarak yang lebih panjang agar acara ini setanding dengan larian ultra yang dianjurkan di peringkat dunia.
“Ini bukan sahaja memberi cabaran kepada peserta tetapi juga mengangkat Sarawak sebagai destinasi sukan lasak bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media disediakan Sarawak Forestry Corporation (SFC), hari ini.
SINTR 2025 anjuran SFC pada Ahad lepas disertai 360 peserta, termasuk pelari tempatan dan antarabangsa dari Brunei, Indonesia dan Netherlands.
Larian tahun ini menawarkan tiga kategori utama iaitu 6 kilometer, 10 kilometer, dan 20 kilometer dengan laluan yang mencabar melalui kawasan hutan di bawah kawasan terlindung sepenuhnya SFC.
Dengan kejayaan penganjuran kali ini, Dr Abdul Rahman turut menyarankan agar SINTR dijadikan acara tahunan, seperti Kuching Marathon dan Rainforest World Music Festival, bagi membolehkan peserta membuat persediaan awal serta meningkatkan jumlah penyertaan pada masa akan datang.
“Saya bangga dengan usaha gigih semua pihak dalam memastikan kelancaran acara ini. Diharapkan lebih banyak aktiviti seperti ini dapat dianjurkan, termasuk program melibatkan komuniti setempat bagi memperkukuhkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Bagi acara 20 kilometer, kategori lelaki terbuka dijuarai Oswald Maiko dari Sabah, manakala kategori wanita terbuka diungguli Mailin Salugin (Sabah).
Acara yang sama, kategori lelaki veteran dimenangi Jadvel (Sabah) dan Farizah Sumping (Sarawak) menjuarai kategori wanita veteran.