KUCHING, 25 Feb: Sarawak dijangka mengeksport kira-kira 30 hingga 50 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui ke Sabah pada hujung tahun ini, melalui talian penghantaran 34 kilometer dengan 275 kilovolt.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia selaras dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini yang mahu Sarawak mempertimbangkan bekalan tenaga boleh diperbaharui ke Selatan Filipina.
“Dengan penyambungan Sarawak–Sabah yang dijangka beroperasi tahun ini, saya yakin bahawa aspirasi ini dapat direalisasikan.
“Ia khususnya menerusi Projek Penyambungan Sabah–Palawan (Sabah-Palawan Interconnection), yang sedang dikaji melalui Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan rangka kerja ASEAN yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan utama ‘Menerajui Masa Hadapan Tenaga Borneo sebagai Hab Tenaga Mampan ASEAN’ pada Majlis Industri Tenaga (EIC) Connect Energy Borneo 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, tambahnya, Sarawak juga komited untuk merealisasikan penyambungan tenaga Sarawak–Brunei Darussalam menjelang 2030, dengan kapasiti eksport awal sebanyak 30MW hingga 50MW.
Menurutnya, Sarawak juga komited untuk menyokong peralihan tenaga bersih di Asia Tenggara.
“Bersama Kalimantan, Indonesia, kita mempunyai potensi untuk menjadi ‘Bateri ASEAN’, bagi membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada jiran Asia Tenggara kita melalui Borneo dan Grid Kuasa ASEAN.
“Memandangkan Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun ini, Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan juga komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dan memupuk kesalinghubungan tenaga yang lebih besar,” ujarnya.Sarawakian travel destinations
Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan kerjasama tenaga serantau Sarawak terus berkembang.
Menurutnya, projek sambungan 1,000MW ke Singapura semakin maju setelah Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan.
“Perbincangan teknikal kini pada peringkat akhir.
“Memandangkan kerumitan memasang salah satu daripada beberapa kabel dasar laut jarak jauh di dunia, kita bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Indonesia,” jelasnya.
Abang Johari juga memberitahu, dengan permintaan yang semakin meningkat bagi bekalan elektrik yang boleh diharapkan, Sarawak melalui Sarawak Energy baru-baru ini telah melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) skala utiliti yang pertama di Malaysia.
“Ketika Sarawak memajukan cita-cita tenaga boleh diperbaharuinya, usaha memperluas penyimpanan tenaga akan menjadi penting untuk menampung peningkatan bahagian sumber tenaga boleh ubah seperti solar.
“Bagi menangani perkara ini, Sarawak Energy sedang memuktamadkan kajian kebolehlaksanaan untuk meneroka bukan sahaja pengembangan penyimpanan tenaga bateri tetapi juga penyelesaian alternatif seperti penyimpanan hidro pam, bagi memastikan sistem tenaga yang lebih diharapkan dan stabil,” tegasnya.
Sementara itu, di bawah strategi sektor tenaga, Sarawak turut menyasarkan untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan meningkat kepada 15GW menjelang 2035.Sarawakian travel destinations
Pada masa ini, lebih 70 peratus tenaga elektrik di Sarawak adalah daripada kuasa hidro, menjadikan Sarawak antara pengeluar karbon terendah di rantau ASEAN dalam sektor tenaga. – TVS