Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini untuk lawatan kerja dua hari ke Vietnam dan dijadualkan menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN (AFF) kedua, esok. Foto Bernama

PM Anwar tiba di Hanoi untuk lawatan kerja dua hari ke Vietnam

ByBernama

HANOI, 25 Feb: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini untuk lawatan kerja dua hari ke Vietnam dan dijadualkan menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN (AFF) kedua, esok.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi pada 7.10 malam (waktu tempatan).

Timbalan Menteri Luar Vietnam Ngo Le Van dan Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai menyambut ketibaan Perdana Menteri dan delegasi Malaysia di lapangan terbang berkenaan.

Mengiringi Anwar ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan.

Menurut Wisma Putra dalam kenyataan, Forum Masa Depan ASEAN merupakan platform inklusif untuk perbincangan dan dialog dalam kalangan pemimpin ASEAN, penggubal dasar, pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan dan pihak berkepentingan mengenai hala tuju masa depan ASEAN.

Dalam ucaptama beliau, Perdana Menteri akan menekankan komitmen Malaysia terhadap nilai MADANI dan aspirasi sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri juga dijadualkan mengetengahkan keutamaan Malaysia dan jangkaan hasil bagi tahun ini termasuk usaha untuk mempromosikan pembangunan ekonomi inklusif dan mampan, transformasi digital, mitigasi perubahan iklim, dan tenaga boleh baharu, menurut Wisma Putra.

Selain menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan, Anwar dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam dan Presiden Vietnam Luong Cuong, serta mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Menurut Wisma Putra, pertemuan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua negara merangka hala tuju yang jelas dalam memperkukuh kerjasama dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif.

Sementara itu, Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta.

Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Vietnam pada 30 Mac 1973 dan kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2023.

Perdana Menteri dijangka pulang ke tanah air esok. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan