KUALA LUMPUR, 25 Feb: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bersedia untuk bekerjasama dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam industri minyak dan gas di wilayah Malaysia Timur itu.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu perincian berkaitan kerjasama itu.
“Kami menunggu butiran yang akan dipersetujui secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sebelum boleh meneruskan kewujudan semua pengaturan kerja.
“Ini perlu dilakukan dengan teliti atas sebab peranan agregator bukan hanya bersifat komersial, tetapi juga fizikal.
“Kita (PETRONAS) akan melakukan ini dengan berhati-hati. Kami mahu memastikan kepentingan kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi kewangan kumpulan PETRONAS di Menara Berkembar PETRONAS di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufik berkata, pihaknya menekankan aspek komersial dalam kerjasama itu susulan PETRONAS sudah pun melakukan banyak pelaburan dalam operasinya di Sarawak dengan keuntungan telah dikembalikan secara saksama.
“PETRONAS mahu menjadi konstruktif dalam penglibatan ini. Kami mahu mendapatkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua orang,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Kerajaan Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sarawak untuk memperincikan skop kerjasama antara PETRONAS dan PETROS. – TVS