KUALA LUMPUR, 25 Feb: Menteri Luar, Datuk Mohamad Hassan akan mengadakan lawatan rasmi ke Iran bermula hari ini hingga 27 Februari.
Kementerian Luar berkata, lawatan berkenaan menunjukkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai sektor bagi kepentingan bersama kedua-dua negara.
Mohamad juga dijadual mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) kali kelapan dengan rakan sejawatnya, Seyyed Abbas Araghchi, esok
“JCM kali ini akan memperincikan bidang-bidang kerjasama strategik termasuk politik, pertahanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan, bank dan kewangan, pertanian, kesalinghubungan, tenaga, pelancongan dan budaya, sains dan teknologi, wanita dan keluarga, pendidikan dan industri halal,” jelas kementerian itu menerusi kenyataan media hari ini.
Mohamad turut dijadual mengadakan kunjungan hormat bertemu Presiden Iran, Dr. Masoud Pezeshkian.
“Perbincangan mereka akan tertumpu kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran, serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, khususnya situasi di Palestin dan Timur Tengah,” tambah kenyataan itu.
Pada 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion iaitu peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding 2023.
Malaysia juga merupakan rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara ASEAN dan ke-19 terbesar di peringkat global pada tahun 2023. -TVS.