KUCHING, 25 Feb: Sarawak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa 2025 (SIYFC 25) yang dijadual berlangsung dari 28 Mei hingga 1 Jun 2025 di Stadium Sarawak, Petra Jaya.
Ketua Pegawai Eksekutif SIYFC 25, Nazree Nassir, berkata karnival lima hari itu akan menghimpunkan pasukan dari pelbagai kelab dan akademi antarabangsa.
Menurutnya, kejohanan ini melibatkan tiga kategori umur iaitu bawah 8, 10 dan 12 tahun.

“Misi SIYFC 25 adalah untuk menginspirasikan generasi baharu yang berbakat dalam sukan bola sepak.
“Dengan menyediakan platform seperti kejohanan ini, kita dapat memupuk semangat kesukanan yang tinggi serta mewujudkan hubungan antara budaya,” katanya pada sidang media di Stadium Sarawak, Petra Jaya, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol merangkap Penaung Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak serta Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman.
Nazree turut menyatakan hasratnya agar kejohanan ini diiktiraf di peringkat global, bukan sahaja untuk memajukan bola sepak di peringkat akar umbi, tetapi juga sebagai landasan menjadikan Sarawak sebagai hab pelancongan sukan serta pusat pembangunan bakat bola sepak remaja.
Penganjuran SIYFC 25 turut mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak, serta Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).