KUALA LUMPUR, 25 Feb: Kerajaan memberi jaminan pemilik asal hartanah tidak akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan susulan usaha merangka Rang Undang – Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini turut membabitkan status tanah asal yang tidak akan berubah, sama ada Rizab Melayu atau status kekal.
Pada masa sama beliau berkata, kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak serta perlindungan yang diberikan.
“Di mana-mana negara yang pesat membangun dan muncul bandar-bandar yang kian berkembang, tentu kita hadapi bangunan yang tidak selamat, kawasan sesak dan miskin, di mana harus dibangunkan juga projek terbengkalai.
“Sebab itulah sejak 2012 Garis Panduan (Pembaharuan Semula Bandar) dikemukakan. Pada 2013, diusulkan dan seterusnya pada 2015, proses pengggubalan dimulakan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tan Kar Hing (Gopeng) yang mahu tahu komitmen kerajaan atas cadangan RUU Pembaharuan Semula Bandar bagi memastikan tiada pemilik tanpa mengira kaum diusir daripada pemilikan tanah seperti yang dinyatakan dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata semenjak RUU Pembaharuan Semula Bandar terangka pada 2012, sebanyak 74 kali sesi libat urus diadakan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengenal pasti 30 kawasan untuk pembaharuan semula.
“Kita mengambil kira masalah yang dihadapi oleh rakyat, umpanya saya pergi ke Flat Sri Perlis, Bandar Tun Razak, di antara yang paling lama (dan) yang paling daif.
“Bila kerajaan melihat semua projek-projek baharu dan mercu tanda dan (berlaku) perubahan baik, kita tak boleh biarkan begitu sahaja (kawasan daif), maka perundingan harus dimulakan,” tambahnya. -TVS.