KUALA LUMPUR, 25 Feb: Malaysia mengeksport sebanyak 413.61 tan metrik durian segar dengan nilai mencecah RM24.84 juta ke China bagi tempoh 24 Ogos hingga akhir tahun lepas.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Josep Kurup berkata, durian Malaysia diterima baik di pasaran China serta dianggap buah premium.
Jelas beliau ‘raja buah itu’ boleh didapati di 16 wilayah di Negara Tembok Besar itu termasuk Beijing, Shanghai, dan Guangzhou.
“Untuk mempromosikan kelebihan pelbagai varieti durian Malaysia, Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Beijing aktif melaksanakan aktiviti promosi kepada pengguna di China,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan soalan Chow Yu Hui ( Pakatan Harapan – Raub) yang ingin tahu sambutan durian Malaysia di China.
Sementara itu Arthur Joseph berkata, industri durian Malaysia menghadapi beberapa cabaran utama, termasuk pengeluaran yang tidak mencukupi sedangkan permintaan tinggi.
“(Selain itu durian kita juga mengalami) tempoh kesegaran yang pendek dan kos logistik yang tinggi akibat penghantaran udara.
“Namun kementerian yakin durian segar Malaysia yang berada dalam segmen premium masih mampu terus bersaing dan berkembang di pasaran China,” katanya. -TVS.