KUCHING, 25 Feb: Bangkai seekor buaya berukuran kira-kira empat meter dijumpai terapung oleh seorang guru sekolah di Batang Igan, Kampung Bungan Kecil dekat Sibu, hari ini.
Menerusi video berdurasi 16 saat yang dirakam dan dimuat naik oleh guru yang hanya mahu dikenali sebagai Jamil di laman sosialnya, dia merakam bangkai reptilia ganas berkenaan ketika menaiki perahu balik dari sekolah.
“Besar buaya ini, besar. Oh besar ini buaya besar,” katanya yang merupakan seorang guru di sekolah berhampiran lokasi penemuan.
Satu sumber yang boleh dipercayai berkata bahawa bangkai yang dirakam dalam keadaan terlentang itu merupakan buaya betina.
Sumber itu turut berkata bahawa buaya tersebut telah mati dua hari yang lalu. – TVS