KUALA LUMPUR, 25 Feb: Peraturan kewangan yang mampan harus diselaraskan di seluruh ASEAN bagi mengurangkan ketidakpastian pelabur dan memudahkan aliran modal rentas sempadan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, negara-negara ASEAN mesti menyeragamkan rangka kerja bon hijau, menyelaraskan pendedahan keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan meningkatkan mekanisme kredit karbon untuk membuat pelaburan sempadan dalam tenaga bersih lancar dan cekap.
Menurut Fadillah, sektor kewangan mesti menerajui transformasi itu.
“Ia merangkumi pembiayaan projek boleh diperbaharui berskala besar untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengguna pakai teknologi hijau dengan penyelesaian pembiayaan mestilah inovatif, inklusif, dan boleh diakses oleh semua.
“Masa untuk bertindak sekarang. Keputusan yang kita buat hari ini akan membentuk masa depan ekonomi, industri dan komuniti kita,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan ASEAN 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata Malaysia mempunyai dasar, mekanisme dan kemampuan dari sudut kewangan untuk mempercepatkan perkara itu, namun memerlukan kehendak kolektif.
“Marilah kita komited sebagai penggubal dasar, pembiaya dan peneraju industri untuk menjadikan kelestarian sebagai asas masa depan tenaga ASEAN,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, Malaysia komited untuk meletakkan ASEAN sebagai peneraju global dalam kewangan yang mampan.
Sebagai Pengerusi ASEAN, kata beliau, Malaysia akan menyokong kerjasama yang lebih mendalam dalam pembiayaan hijau, ketersambungan tenaga serantau dan pengembangan rangka kerja pelaburan mampan.
“Manakala ASEAN Taksonomi untuk kewangan mampan ialah satu langkah ke hadapan yang patut dipuji, kita mesti berusaha untuk pergi lebih jauh,” ujarnya.
Sementara itu, Fadillah menegaskan, peralihan tenaga ASEAN tidak boleh berlaku secara berasingan.
Kata beliau, tiada negara boleh mencapai matlamat kemampanannya tanpa kerjasama serantau yang kukuh. – TVS