KUCHING, 24 Feb: Sarawak masih kekal sebagai negeri berstatus karbon negatif dalam usaha mencapai kelestarian alam sekitar dan menangani fenomena perubahan iklim.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, wilayah ini memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Sarawak masih lagi berada dalam status karbon negatif. Tetapi matlamat yang lebih penting adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon.
“Ia adalah usaha untuk menjimatkan tenaga supaya kita dapat mencapai sifar karbon menjelang 2050,” katanya pada SHEDA: ENCORE 2025 di Auditorium Chemsain, Kuching di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Hazland berkata, kerajaan terus komited memperkukuh pembangunan mampan dan tenaga hijau menerusi pelbagai inisiatif.
“Ia termasuk memantau dan mengatur strategi kelestarian alam sekitar selaras dengan dasar kerajaan ke arah mencapai ekonomi hijau.
“Kita telah pun merangka dan meluluskan semua undang-undang perdagangan karbo menerusi dasar dan undang-undang yang telah diluluskan, seperti Ordinan Pengurangan Gas Rumah Kaca 2023 dan cukai karbon.
“Selain itu, Sarawak telah membangunkan teknologi tenaga baharu seperti biojisim, tenaga gelombang dan mobiliti hijau,” ujarnya.-TVS