KUCHING, 24 Feb: Sarawak berpotensi menjadi pusat terkemuka bagi integrasi perubatan Timur dan Barat di Asia Tenggara menerusi pembangunan Hospital Gleneagles Kuching.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber semula jadi terutamanya tumbuh-tumbuhan yang berpotensi digunakan dalam penghasilan ubat-ubatan baharu.
Menurutnya, ia sebagai inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memanfaatkan kekayaan biodiversiti hutan hujan tropika bagi penyelidikan perubatan.
“Kami ingin menggalakkan interaksi antara perubatan Timur dan Barat. Kita berada di tengah-tengah hutan hujan tropika. Sarawak memiliki banyak tumbuhan yang berpotensi menjadi asas penghasilan ubat-ubatan baharu.
“Prosedur perubatan Timur dan juga Barat, kedua-duanya boleh digabungkan.
“Malah, ketika saya melawat Samsung Biologis di Seoul, mereka kini cuba meneroka kemungkinan menggabungkan perubatan Timur dan Barat khususnya dalam rawatan kanser,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Hospital Gleneagles Batu Lintang di sini pada Isnin.
Beliau turut menyatakan Sarawak beruntung kerana masih memiliki kawasan hutan yang kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan perubatan.
“Berbeza dengan negara lain, mereka tidak mempunyai tumbuhan. Jadi mereka hanya menumpukan kepada cara penyelidikan Barat,” ujarnya.
Abang Johari melahirkan keyakinan kombinasi perubatan tradisional Timur dan Barat boleh membuka peluang rawatan inovatif terutamanya dalam rawatan kanser.
“Kerajaan Sarawak turut merancang untuk membangunkan hospital pengajar di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan bersama antara hospital swasta dan institusi pengajian tinggi,” ujarnya.
Tambahnya, kerjasama tersebut diharap dapat meningkatkan rawatan pesakit dengan meneroka penyelesaian baharu bagi penyakit tropika di rantau ini. -TVS