KOTA SAMARAHAN, 24 Feb: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM95 juta untuk membangunkan sekolah Islam antarabangsa pertama di wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan sekolah tersebut adalah untuk memperkasa pembangunan intelektual dalam kalangan belia Islam.
“Ini merupakan inisiatif yang diluluskan kerajaan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin Islam tetapi juga disokong pemimpin bukan Islam.
“Dengan peruntukan RM95 juta, kita membangunkan sekolah antarabangsa Islam berkonsep asrama penuh yang mana pelajar Hafiz boleh mengembangkan pengajian disertakan sains moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Sarawak ke-64 di Dewan Suarah Kota Samarahan malam ini.
Malah menurutnya, Kerajaan Sarawak turut menjalankan kajian dan mempelajari konsep yang digunakan di Madrasah Aljunied Al-Islamiah yang menggunakan silibus antarabangsa Cambridge.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi sekolah tersebut dijangka siap pada penghujung 2027.-TVS