KUCHING, 24 Feb: Kejadian runtuhan bangunan yang mengakibatkan seorang lelaki maut di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, Central Timur di sini, dipercayai berlaku ketika mangsa mahu meroboh stor di belakang kediamannya.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali David Chin Zek Hong,27, maut akibat dihempap runtuhan bangunan berkenaan.
Komander Operasi, Rosli Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 10.08 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan ke lokasi kejadian.
Lelaki maut dihempap runtuhan bangunan di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui
“Setibanya di lokasi didapati terdapat seorang mangsa lelaki telah dihempap runtuhan bangunan. Bangunan yang runtuh merupakan stor di belakang rumah mangsa.
“Mangsa dikatakan mahu meroboh stor tersebut tetapi dinding konkrit stor telah runtuh dan menghempap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba melakukan operasi menyelamat menggunakan peralatan rescue tool sehingga mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan.
“Mangsa disahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia di lokasi kejadian, seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.-TVS