KUCHING, 24 Feb: Hospital Gleneagles Kuching bakal menjadi mercu tanda baharu dalam landskap penjagaan kesihatan Sarawak dengan menawarkan rawatan bertaraf dunia dilengkapi teknologi perubatan terkini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan menggabungkan teknologi perubatan canggih dan pasukan pakar multidisiplin, Gleneagles Kuching dijangka menjadi tumpuan dalam bidang penjagaan kesihatan di Sarawak dan rantau ASEAN.
Menurutnya, hospital tersebut menawarkan perkhidmatan perubatan khusus seperti rawatan kardiologi, onkologi, dan prosedur pembedahan lanjutan.
“Dengan mengamalkan amalan terbaik dalam kecemerlangan klinikal, keselamatan pesakit dan rawatan inovatif, Hospital Gleneagles Kuching akan menetapkan penanda aras baharu dalam bidang penjagaan kesihatan di rantau ini.
“Dengan menyokong pembangunan seperti ini, kita memastikan infrastruktur kesihatan berkembang seiring dengan keperluan rakyat dan untuk generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Hospital Gleneagles Batu Lintang di sini pada Isnin.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak melabur RM300 juta untuk membangunkan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Tropika yang dijangka bekerjasama rapat dengan Hospital Gleneagles Kuching dan hospital pengajar di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Usaha ini penting bagi menghadapi ancaman penyakit baharu dengan sokongan analisis data berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan sektor swasta, Hospital Gleneagles Kuching bersedia menjadi pemangkin kepada transformasi landskap kesihatan di Sarawak bukan sahaja untuk rakyat tempatan tetapi juga bagi pesakit dari rantau ASEAN.
“Mereka mempunyai ramai doktor pakar di pelbagai tempat. Anda boleh datang dan merawat pesakit anda di sini. Justeru, kami menubuhkan Air Borneo bagi menyediakan kemudahan mobiliti kepada doktor dan pakar untuk datang ke Sarawak,” ujarnya.
Hospital Gleneagles Kuching bukan sekadar pusat rawatan tetapi hab penyelidikan dan inovasi perubatan yang bakal meletakkan Sarawak di peta kesihatan global.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Pengerusi IHH Healthcare Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH Healthcare Dr Prem Kumar Nair-TVS