KUCHING, 24 Feb: Dua atlet papan selaju Sarawak bakal mewakili Malaysia pada Sukan SEA yang bakal berlangsung di Thailand tahun ini.
Kedua-dua mereka merupakan adik-beradik iaitu Mohd Nur Firdaus Marzuki dan Mohd Zainul Marzuki.
Nur Firdaus mencuri tumpuan pada Kejohanan Sukan Aksi Malaysia selepas mengungguli kategori lelaki terbuka manakala abangnya berada di tempat kedua.
Kejohanan Sukan Aksi Malaysia dianjurkan My Skate, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Rakan Muda pada 22 hingga 23 Februari lepas di Ragas Extreme Centre Kiara Skatepark
Kemenangan tersebut mencerahkan peluang dua beradik tersebut untuk mewakili Malaysia selepas mengumpul mata dalam saringan pertama kelayakan.
Dalam kejohanan sama, atlet pelapis Sarawak Mohd Raqeeb Azizan muncul juara kategori junior lelaki.
Kejohanan tersebut dilihat sebagai platform terbaik bagi memberi pendedahan kepada atlet papan selaju tempatan.
Ia membantu atlet papan selaju untuk lebih menyerlah terutama sebelum menghadapi kejohanan besar pada masa akan datang.-TVS