KUALA LUMPUR, 24 Feb: Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakukan penambahbaikan seperti larangan terhadap aktiviti perlanggaran disiplin dalam kalangan Putera (pelajar lelaki) di Maktab Tentera Diraja (MTD) untuk menghentikan gejala buli.
Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata, mulai tahun 2020, pengasingan blok penginapan Putera Tingkatan 5 dan Tingkatan 4 telah dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan risiko perkara-perkara yang tidak diingini.
Kata beliau, tindakan lain termasuk jurulatih bertugas diwajibkan melaksanakan rondaan berkala dan tidak berkala di blok penginapan selepas 11:30 malam setiap hari.
“Kekerapan rondaan adalah sekali dalam tempoh dua jam. (Selain itu) bilangan kamera litar tertutup (CCTV) turut ditambah daripada 12 kepada 64 unit di kawasan blok penginapan bagi mengawasi dan mengesan aktiviti yang mencurigakan, serta melaksanakan sesi kaunseling bagi Putera yang terlibat dalam kes perlanggaran disiplin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas -Muar) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan langkah yang diambil untuk memberhentikan kejadian buli yang sudah membarah secara sistemik di MTD.
Mengulas lanjut, Adly berkata, ATM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kesalahan disiplin termasuk perbuatan buli dan siasatan serta tindakan yang tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.
Beliau turut menjelaskan MTD merupakan satu-satunya Sekolah Berasrama Penuh di bawah MINDEF dan mempunyai keunikan dari sudut pentadbirannya.
“Sistem pembelajaran akademik di MTD adalah unik dan berteraskan ketenteraan dan kepimpinan.
“Pengurusan pentadbiran Putera MTD di bawah ATM manakala pengurusan akademik mengikut silibus kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya. -TVS.