KUALA LUMPUR, 24 Feb: Permohonan untuk meningkatkan jumlah geran Rukun Tetangga sebanyak RM20 juta pada tahun ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, di bawah inisiatif Kelab Rukun Tetangga (KRT) Progresif , pihaknya yakin tambahan peruntukan itu dapat membangunkan komuniti yang mampan, sejahtera dan progresif yang menjadi tonggak kepada Malaysia MADANI.
Kata beliau, pada 2024, sebanyak 152 KRT telah diperkasakan sebagai RT Progresif yang berupaya membangun komuniti mampan dan progresif.
“Pada tahun ini kita menyasarkan sekurang kurangnya 300 KRT lagi akan dipilih untuk diperkasakan sebagai RT Progresif dengan penilaian yang terperinci merangkumi penyediaan profil, pemetaan sosial, permohonan projek ekonomi dan kebun komuniti yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawan Lisan di sini hari ini.
Aaron Ago berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (Barisan Nasional – Libaran) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk meningkatkan nilai Geran Rukun Tetangga daripada RM6,000 kepada RM10,000 oleh kerana nilai geran setiap tahun yang diterima tidak mencukupi bagi melaksanakan program-program rukun tetangga.
Sementara itu tambah beliau,  dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021– 2025), yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan bahawa Rukun Tetangga akan diperkasa sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program komuniti, kesukarelawanan dan kenegaraan pada peringkat akar umbi.
“Justeru, bagi menterjemahkan inisiatif ini, Kerangka Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif telah dibangunkan dan disusun selaras dengan Dasar Perpaduan Negara.
Sebanyak lapan bidang tumpuan ditetapkan bagi mencapai matlamat komuniti progresif,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sidang dewan lebih 551 KRT di seluruh negara dilaporkan tidak aktif, menyebabkan aktiviti dan laporan tidak dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.
Sehubungan itu katanya Pejabat Perpaduan turun padang memberi ceramah dan sokongan untuk mengaktifkan semula KRT berkenaan. -TVS.