KUALA LUMPUR, 24 Feb: Seramai 122,062 orang murid tahun 1 dikenal pasti memerlukan intervensi berikutan gagal menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, dapatan itu hasil Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi fasa satu yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Julai hingga September tahun lepas.
Kata beliau jumlah itu mewakili sebanyak 27.42 peratus keseluruhan murid kelas berkenaan.
“Dapatan juga menunjukkan sebanyak 39.58 peratus atau 48,308 murid berjaya menguasai 3M, manakala baki 60.42 peratus atau 73,754 murid meneruskan Fasa 2.
“Melalui intervensi dalam Fasa 2 yang dilaksanakan dari Oktober hingga Disember 2024, dan diteruskamn sehinggan 31 Januari 2025, data menunjukkan bahawa 32.65 peratus atau 24,077 murid daripada baki tersebut telah berjaya menguasai asas 3M.
“Secara, keseluruhan, 59.30 peratus atau 72,385 murid Tahun 1 yang dikenal pasti dalam Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi berjayaw menguasai Kemahiran asas 3M sepanjang Tahun 2024,” katanya pada sesi di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (Perikatan Nasional – Pokok Sena) yang ingin tahu cabaran utama yang dihadapi pihak sekolah dalam program intervensi pemulihan khas penguasaan kemahiran asas 3M ketika ini memandangkan tahap literasi pelajar yang masih rendah memasuki Darjah Satu.
Pada masa sama Kah Woh memaklumkan, KPM turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program Anak Kita (3M) yang diterajui oleh Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah.
“Program ini melibatkan 1,288 sekolah dengan penyertaan 53,252 murid.
“Tumpuan akan terus diberikan kepada literasi dan numerasi dalam Kurikulum Prasekolah 2026 dan Kurikulum Persekolahan 2027,” katanya. -TVS.