KUALA LUMPUR, 24 Feb: Kerajaan terus komited untuk memperluaskan pelaksanaan Program Biodiesel Negara (B20) ke seluruh negara dan meningkatkan kadar adunan biodiesel kepada B30 dalam sektor pengangkutan menjelang 2030.
Menteri Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata bagaimanapun wujud beberapa kekangan sekali gus melambatkan perkembangan program tersebut.
Ujarnya, antara cabaran utama yang dihadapi adalah kapasiti adunan, harga diesel berbanding minyak sawit dan ketersediaan infrastruktur pengadunan di depoh-depoh petroleum seluruh negara.
“Kapasiti kemudahan pengadunan biodiesel di depoh-depoh ini perlu dinaik taraf bagi membolehkan pelaksanaan peratus adunan yang lebih tinggi dan kos terlibat adalah sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut Johari berkatq, kerajaan melaksanakan program Biodiesel B10 bagi sektor pengangkutan secara mandatori mulai 1 Februari 2019.
Program B7 bagi sektor industri pula jelas beliau dilaksanakan mulai Julai 2019.
“Program Biodiesel Negara telah ditingkat dan diperluaskan pelaksanaannya kepada B20 bagi sektor pengangkutan di beberapa lokasi iaitu Langkawi, Labuan dan Sarawak (kecuali Bintulu) mulai Januari 2020,” katanya.
Tambah beliau, program biodiesel tersebut telah menggunakan minyak sawit sebanyak 900,000 tan setahun. -TVS