KUALA LUMPUR, 24 Feb: Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia dijadual berlangsung di Dewan Rakyat pada Rabu ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, RUU berkenaan merupakan usaha dan kerjasama erat antara kerajaan dan wakil-wakil industri media.
Beliau menjelaskan sesi perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia telah dijalankan secara berkala sejak awal 2023.
“Jawatankuasa Protem ini merangkumi 40 orang wakil daripada syarikat media, persatuan media, pengamal media, pengamal media bebas dan ahli akademik seperti Malaysiakini, Astro Awani, The Star, Berita Harian, Sinar Harian, Makkal Osai, Malaysian Nanban, Persatuan Tamil Media Malaysia, China Press, Sin Chew Daily, Borneo Post Online, Daily Express, Persatuan Wartawan Sabah, Centre for Independent Journalism (CIJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), National Union of Journalist Malaysia dan lain- lain lagi.
“Hasilnya, RUUini dapat digubal bersesuaian dengan hasrat industri media iaitu untuk menubuhkan sebuah badan yang akan memperkukuh tadbir urus media di Malaysia. Ini komitmen Kerajaan dalam menjamin kebebasan media,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengenai laporan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Fahmi berkata kerajaan akan terus berusaha mengenal pasti ruang dan peluang untuk penambahbaikan serta komited meningkatkan prestasi pada masa akan datang.
“Saya menyeru agar rakan-rakan di blok pembangkang untuk menjadi barisan semak dan imbang (check and balance) yang berkesan, berintegriti dan profesional dalam memastikan kelangsungan pembangunan negara,” katanya.- TVS.